Sabtu, 3 Ogos 2019

Pengenalan

PENGENALAN KONSEP KEJIRANAN


بسم الله الرحمن الرحيم

Hasil carian imej untuk konsep kejiranan dalam islam



Konsep Kejiranan

Hubungan yang utuh sesama anggota masyarakat ialah salah satu ciri ciri masyarakat yang berkualiti, yakni  sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan persekitaran yang aman dan juga harmoni sesama mereka  malah menjadi aset penting buat sesebuah Negara.

Setelah menyedari hakikat ini,Islam awal awal lagi menekankan  betapa pentingnya menjalinkan hubungan yang erat dalam kalangan masyarakatnya.Begitu indahnya Islam,SubhanAllah! Namun, suruhan ini bukan terhad untuk sesama Islam sahaja, malahan  pelbagai agama,bangsa,warna kulit ,bahasa dan keturunan juga disuruh supaya menjalinkan hubungan baik sesama manusia lebih lebih lagi jiran tetangga.Hubungan baik sesama jiran tetangga sangat dititikberatkan dalam Islam kerana ia merupakan salah satu cara hidup Islam sejak dulu lagi.

Dalam usaha mengekalkan keharmonian dalam hidup berjiran, hubungan yang baik dan mesra sesama jiran tetangga tanpa mengira agama dan bangsa memainkan peranan yang sangat penting sekali. Muslim yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa menghormati dan menimbulkan perasaan ihsan apabila berinteraksi sesama jiran. Islam banyak menggariskan panduan agar umatnya sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran.


Definisi

Berdasarkan syarak, jiran ialah orang yang berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, di depan atau belakang mahupun di tingkat atas ataupun bawah hingga 40 rumah dari setiap sudut.

Dalam perkataan Arab, jiran membawa maksud orang yang tinggal sebelah menyebelah atau tetangga. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa semangat kejiranan membawa erti satu suasana dan perhubungan yang positif dalam satu-satu kawasan kejiranan. Ini menunjukkan bahawa Islam menitik beratkan hubungan harmoni dan persaudaraan di antara satu sama lain dan agama Islam ialah sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan di antara sesama manusia.

Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Bahkan menurut Al-Alusi dalam Kitabnya Ruhul Ma’ani Fi tafsiril Qur’an Al-Azim Wa Sab’ul Masani bahawa penetapan jiran ini dan lingkunganya secara zahir kembali kepada uruf (adat setempat). Ini pendapat yang agak tepat kerana dalam kaedah syarak menyebutkan setiap yang datang dari perintah syarak ialah mutlak dan sekiranya tidak ada penerangan jelas dari kaedah melaksanakannya juga tidak dapat dijelaskan dari pemahaman zahir bahasa maka dikembalikan kepada adat kebiasaan dalam melaksanakannya.

Dalil Al-Quran

Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan dalam firman Allah SWT bermaksud :

 ''Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak anak   yatim, orang orang miskin, jiran tetangga yang dekat,jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki''.
                                                                                                                                   (An-Nisa:36)
                                                                                                            
Berdasarkan huraian ayat diatas, yang dikatakan jiran ialah :

a)Orang yang tinggal serumah dengan kita.
b)Orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita.
c)Orang yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah dari rumah kita dari segenap penjuru.
d)Orang yan tinggal senegeri dengan kita.


Hadith-hadith yang menceritakan akan kepentingan berlaku baik kepada jiran :

  • Daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” [Riwayat Muslim (77)]


  • Daripada Ibn Umar R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.” [Riwayat al-Bukhari (6015)]


Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa makna hadith ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. [Lihat: al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim, 18/2]


Sebuah kisah yang berlaku di zaman Rasulullah SAW apabila seorang lelaki datang kepadanya dan mengadu akan perihal jirannya yang suka menyakitinya:

  • Daripada Abu Hurairah RA berkata:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَشْكُو جَارَهُ، فَقَالَ: اذْهَبْ فَاصْبِرْ. فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا، فَقَالَ: اذْهَبْ فَاطْرَحْ مَتَاعَكَ فِي الطَّرِيقِ. فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِي الطَّرِيقِ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ: فَعَلَ اللَّهُ بِهِ، وَفَعَلَ، وَفَعَلَ، فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ: ارْجِعْ لَا تَرَى مِنِّي شَيْئًا تَكْرَهُهُ

Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW mengadu perihal jirannya. Maka Nabi SAW bersabda: “Pergilah serta bersabarlah.” Setelah itu, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah SAW sebanyak dua atau tiga kali. Lalu Nabi SAW bersabda: “Pergilah dan campakkanlah barang-barang di rumah kamu ke jalan.” Lelaki tersebut kemudiannya mencampakkan barang-barang rumahnya ke jalan hingga menyebabkan orang-orang bertanya kepadanya. Lalu lelaki tersebut menceritakan apa yang berlaku kepada dirinya yang menyebabkan manusia (yang mendengar cerita tersebut) melaknat jiran tersebut dengan mengatakan: “Allah akan membalas perbuatannya (mendoakan keburukan), Allah akan balas dan Allah akan balas.” Selepas itu, lelaki tersebut didatangi oleh jiran tersebut dan jiran itu berkata: “Pulanglah kamu, kami tidak akan melihat (mendapati) sesuatu yang kamu benci itu lagi.” [Riwayat Abu Daud (5153)][Sanadnya adalah baik menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

Hadith ini menceritakan akan petunjuk Nabi SAW kepada lelaki ini apabila sentiasa disakiti oleh jirannya. Akan tetapi, berkemungkinan perbuatan atau cara tersebut biasa dilakukan oleh bangsa Arab pada zaman itu tetapi ia tidak lagi sesuai untuk dilakukan pada zaman ini. Tambahan pula, Imam Ibn Ruslan ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa di dalam hadith ini menunjukkan kelebihan bersabar dengan perihal jiran walaupun perkara tersebut berulang-ulang kali berlaku, di samping berusaha untuk mencegahnya mengikut kemampuan yang ada. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan keharusan berdoa kepada orang yang menyakiti orang lain secara kuat (terang-terangan) sebagai pengajaran kepada orang tersebut serta meninggalkan perbuatan tersebut. [Lihat: Syarah Abi Daud, 440/19]


 Hukuman Bagi Orang Yang Menyakiti Jirannya

Terdapat hadith yang menceritakan akan akibat dan balasan yang akan diterima bagi orang yang suka menyakiti jirannya:

Daripada Abu Hurairah RA berkata:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ

Maksudnya: Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” [Riwayat Ahmad (9675)][Sanadnya adalah hasan berdasarkan penilaian daripada Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

Berdasarkan hadis ini, orang yang suka menyakiti jirannya sama ada dengan perbuatannya atau lisannya (ucapannya) maka orang seperti ini akan dicampakkan ke dalam api neraka di akhirat kelak walaupun dia merupakan seorang yang banyak melakukan ibadah.


Kesimpulannya, kita dituntut untuk berlaku baik kepada jiran kerana tuntutan tersebut datang daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. Selain itu juga, Allah SWT menyediakan hukuman yang berat kepada orang-orang suka menyakiti jirannya. Tambahan pula, Islam mengajar umatnya agar sentiasa bersabar dalam setiap perkara yang menimpa serta berusaha untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlaku baik kepada jiran serta memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat nanti. Amin.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KESAN TIDAK MENJAGA ETIKA BERJIRAN

Pelbagai perkara sering berlaku didalam kerukunan jiran tetangga. Masih ramai yang menonjolkan sikap dan sifat yang baik dalam pergaulan...