Pada era globalisasi ini, hubungan sesama jiran semakin renggang "bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing". Kita dapat melihat hubungan kejiranan dalam masyarakat semakin kurang dititikberatkan. Ini disebabkan oleh sikap jiran itu sendiri yang menjadi punca utama. Masyarakat sekarang hanya mengambil berat tentang hal diri masing-masing tanpa mempedulikan tentang hubungan sesama jiran tetangga bahkan tidak mengenali jiran mereka. Oleh itu, semangat kejiranan merupakan aspek penting dalam kehidupan bermasyarakat. Malah, Islam turut menekankan kepentingan menjalinkan hubungan dengan masyarakat sekeliling. Hubungan erat antara masyarakat dapat melahirkan ciri masyarakat berkualiti. Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita iaitu 40 buah rumah sama ada di tepi, depan atau di belakang rumah kita.
Terdapat pelbagai faktor semangat kejiranan kian pupus di kalangan masyarakat, antaranya budaya kunjung–mengunjungi dan mengenali jiran tetangga khususnya di musim perayaan semakin kurang diamalkan. Ini disebabkan oleh mereka tidak berminat untuk berjumpa atau menziarahi jiran tetangga. Melalui amalan ziarah-menziarahi ini, ia dapat memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalinkan hubungan dengan lebih erat dan mesra walaupun mereka menyambut perayaan yang berbeza tetapi mereka lebih gemar untuk menghabiskn masa di rumah. Tanpa disedari, tanggungjawab sesama jiran tetangga diabaikan sepenuhnya. Kebanyakan masyarakat lebih memelih untuk mengurung anak-anak di dalam rumah kerana tidak suka dengan jiran mereka. Amalan kunjung-mengunjungi bukan sahaja khusus untuk perayaan, malah sesuai untuk kita menziarahi mereka ketika sedang sakit. Tidak kiralah sama ada mereka muslim atau bukan muslim.
Selain itu, perubahan gaya hidup masyarakat zaman kini yang berkerah tenaga untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga masing-masing juga antara faktor semangat kejiranan kian pupus. Hal ini demikian kerana, kos sara hidup yang kian tinggi serta arus pemodenan yang berkembang telah memaksa masyarakat untuk bekerja keras sepanjang hari. Oleh itu, mereka tidak mempunyai peluang untuk berjumpa dan bertegur sapa dengan jiran tetangga kerana kesuntukan masa dan keletihan setelah bekerja. Corak pekerjaan zaman dulu dan kini jauh berbeza. Sebagai contohnya, pekerjaan pada zaman dahulu lebih mementingkan nilai bekerjasama di antara satu sama lain tetapi pada masa kini, bekerja sendiri yang tidak menekankan amalan bekerjasama. Oleh itu, perubahan gaya hidup masyarakat sekarang jelas menjadi punca semangat kejiranan kian luntur.
Sehubungan dengan itu, semangat kejiranan kian pupus juga berpunca daripada kemajuan bidang teknologi masa kini bak kata pepatah, "seperti cendawan tumbuh selepas hujan". Pada zaman kini, perkembangan bidang teknologi bertambah maju dan pesat. Sebagai contohnya, masyarakat kini terlalu asyik menggunakan kemudahan media elektronik seperti telefon bimbit, komputer, dan televisyen sehingga mereka lalai dan tidak menghiraukan orang sekeliling. Budaya sebegini menyebabkan amalan kunjung-mengunjungi antara jiran tetangga semakin pudar. Pada masa yang sama, mereka tidak sedar bahawa mereka telah mengabaikan kepentingan semangat kejiranan. Oleh itu, kemajuan bidang teknologi pada masa kini menjadi faktor semangat kejiranan kian pupus.
Kesimpulannya, masyarakat perlulah saling berganding bahu "bagai aur dengan tebing" bagi mengatasi masalah ini untuk menjamin kesejahteraan dan kemajuaan negara. Negara kita mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa dan agama, oleh itu telah menjadi suatu kewajipan kepada diri setiap masyarakat untuk saling bekerjasama bagi memastikan perpaduan negara terus terjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan